Baru aje beli buku ni pada 17 April 2010 lalu...kat Kedai Buku Kita Labuan....Bila baca buku ni terasa sangat diri ini tidaklah sesopan mana...kekadang benda yang kecil yang selalu kita pandang remeh rupa-rupanya menjadi perhatian orang, dan membuat penilaian peribadi kita..sedikit ulasan tentang buku ni...
Istilah adab menurut kamus membawa maksud tingkah laku yang baik, budi
bahasa yang halus dan sopan santun. Manakala etiket pula merujuk kepada
kelakuan yang baik. Terdapat pelbagai jenis adab dan etiket yang boleh
dijadikan sebagai amalan dalam kehidupan seharian. Semua perkara yang
kita lakukan penuh dengan adab dan etiket. Adab dan etiket adalah cermin
diri seseorang dan tidak boleh dipandang remeh. Tidak kiralah adab semasa
berniaga, adab berkunjung ke rumah orang mahupun adab ketika di jalan
raya. Melalui adab dan etiket, orang di sekeliling akan dapat menilai
perwatakan sebenar diri seseorang.
Buat kali pertama apabila berhadapan dengan seseorang, kita perlulah
mempunyai nilai diri yang tinggi dan bertutur dengan sopan supaya orang
tersebut akan berasa diri mereka dihormati.
Jelaslah bahawa dengan mengamalkan adab dan etiket yang betul, ia bukan
sekadar mampu memberikan kesan yang positif terhadap diri sendiri, malah
turut memberikan tanggapan yang baik kepada orang lain. Tingkah laku yang
baik dan budi bahasa terpuji dapat memberi gambaran peribadi kita. Setiap
hari, kita berkomunikasi dengan pelbagai pihak; sama ada sesama ahli
keluarga, rakan sekerja, sahabat handai mahupun orang awam. Begitu juga,
pelbagai tempat kita kunjungi; tidak kiralah untuk apa jua urusan sekali pun.
Pastinya pernah terdetik dihati, adakah perwatakan kita manis di mata orang?
Adakala juga, tanpa disedari, banyak perlakuan kita yang tidak kena, tetapi
tiada siapa yang berani menegur demi menjaga hati kita. Namun, dalam
mengecapi dunia yang serba moden ini, manusia semakin lupa adab dan
etiket. Tiada lagi batas pergaulan antara lelaki dan wanita. Malah, pemandu
juga semakin hilang sopan santunnya ketika memandu di jalan raya.
Oleh itu dengan menitipkan kembali adab dan etiket ini, diharapkan buku
Tertib Peribadi ini mampu dijadikan panduan kepada semua agar dapat
mengamalkan adab-adab tersebut dalam kehidupan dan dijadikan panduan
berguna untuk dimanfaatkan bersama.
Dalam buku bertajuk Tertib Peribadi ini , ianya mengandungi lima puluh tujuh
bab kesemuanya. Bab Pertama dimulakan Adab Kenalkan Diri: Setiap hari kita
bertemu ramai orang di dalam urusan perniagaan mahupun sosial. Cara kita
mengalu-alukan orang yang baru kita jumpa memberi kesan berpanjangan
dan membawa jalan kepada pertemuan yang lebih produktif. Cara yang betul
menjawab atau membuat panggilan telefon juga harus beradab. Ketika
makan juga memerlukan ketertiban yang sempurna kerana ia
menggambarkan sifat peribadi seseorang.
Dewasa ini, email merupakan cara berkomunikasi yang popular. Walaupun
tidak bersua muka dengan si penerima, tetapi perhubungan cara beradab
boleh memberi impak kepada si pengirim.
Adab sesama rakan sekerja juga harus dijaga. Pejabat merupakan rumah
kedua kepada kita, jadikanlah ia sebuah tempat yang selesa, seronok untuk
bekerja dan ketika di rumah pula, jiran tetangga merupakan orang yang
paling dekat dengan kita dan sedia memberi pertolongan apabila diperlukan,
tegur sapa dan disusuli dengan senyuman bukanlah satu perkara yang sukar
untuk dilakukan. Elakkan bersikap pentingkan diri sendiri kerana tidak akan
membawa apa-apa keuntungan kepada kita.
Semua ibu bapa mahukan anak mereka dipuji kerana kelakuan baik dan bukan
dikeji atas sikap buruk mereka. Masih belum terlambat jika ibu bapa mahu
membetulkan sikap dan adab anak mereka dengan mempraktikkan anak
dengan ucapan salam, ucapan tolong dan terima kasih.
Pernahkah anda terfikir bagaimana mahu melayan dan berinteraksi dengan
Orang Kurang Upaya (OKU)? Disebabkan simpati, kita tidak dapat lari daripada
mahu membantu golongan ini walaupun dengan pertolongan kecil.
Kadangkala tidak semua OKU memerlukan pertolongan kita. Tanya dahulu
sebelum membantu. Jika tawaran ditolak, jangan mendesak. Jika individu
tersebut menerima bantuan kita, tanyalah bagaimana cara terbaik agar kita
dapat membantu.
Bagaimana untuk menyediakan diri ketika menghadiri temu duga dan memberi
tanggapan baik pada si penemu duga? Adab temu duga mungkin boleh diikuti
bagi memastikan kita mempunyai kelebihan, berbanding dengan pesaing yang
lain.
No comments:
Post a Comment