
Kita sekali lagi menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 53. Sesungguhnya kemerdekaan negara adalah satu nikmat yang sangat bermakna dikalangan semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin mahupun rakyat bawahan. Makna merdeka daripada penjajahan juga adalah satu rahmat yang tidak boleh dinafikan oleh seluruh manusia tatkala para generasi awal kemerdekaan menghadapi kesempitan hidup dizaman penjajahan namun kita generasi hari ini dengan mudah menikmati keselesaan hidup jauh daripada apa yang telah dihadapi oleh nenek moyang kita sebelum ini.
Namun disebalik kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini persoalannya apakah kita sedar bahawa merdeka yang kita perolehi ini memerlukan pengisian dan usaha mempertahankannya bagi memastikan segala susah payah generasi dahulu tidak mudah kita lupakan dan bagaimana membentuk generasi kita hari ini sentiasa mensyukuri nikmat tersebut. Justeru mensyukuri nikmat kemerdekaan adalah satu tanggungjawab yang mesti disemai dikalangan masyarakat. Ia bagi memastikan merdeka yang kita fahami harus mempunyai isi dan inti yang jelas supaya ianya selari dengan hakikat kehidupan dan tidak hanya sebagai satu program musiman. Kemerdekaan yang syumul tidak harus difahami sekadar dalam konteks merdeka daripada penjajahan kuasa asing tetapi lebih daripada itu merdeka dari segi pemikiran, ilmu, budaya, intektual dan sebagainya.
Merdeka yang hendak kita telusuri hari ini lebih daripada bebas daripada penjajah tetapi menyeluruh termasuk dari segi fizikal dan spiritual khusus menurut pandangan Islam. Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud:
"Dan ia telah memberikan kepada kamu sebahagian daripada setiap apa juga yang kamu berhajat kepadanya.Jika kamu menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.Sesungguhnya manusia yang ingkar, sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhan-Nya"
Lantaran kehadiran bulan mulia Ramadan al mubarak yang kita lalui hari ini menggamit jiwa kita untuk menyemak kembali kefahaman bersama apakah ruh Ramadan tersebut dapat menjana kefahaman mensyukuri nikmat merdeka. Islam membentuk jiwa umatnya agar merdeka daripada segala penjajahan, merdeka jiwa, merdeka akal termasuk merdeka daripada perhambaan sesama manusia. Mari kita telusuri kata-kata Rubie in Amir ketika bertemu Raja Rome yang bernama Rustum tentang makna merdeka menurut perspektif Islam. Beliau adalah seorang tokoh yang disegani berdepan dengan cabaran bukan sahaja jiwanya malah nyawanya tatkala menyampaikan amanat kepada seorang raja yang hebat pada ketika itu. Antara lain kata Rubie ibn Amir menyampaikan perkhabaran Islam yang antara lain berbunyi : ‘’Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat’’.
No comments:
Post a Comment